
LIPIS (Bernama) — Bukan satu jam tapi tiga jam. Itulah masa perjalanan yang terpaksa ditempuh Orang Asli dari Pos Lenjang yang jaraknya kira-kira 80 km dari sini(Lipis) jika mereka ingin mendapatkan rawatan atau pemeriksaan susulan di Hospital Kuala Lipis.
Lebih menyedihkan, mereka terpaksa melalui laluan balak berdebu yang merupakan satu-satunya jalan perhubungan keluar dan masuk ke penempatan Orang Asli disini.
Jalan balak yang kadang-kala berbahaya, berselut dan becak ketika hujan itu hanya dapat dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.
Kesengsaraan masyarakat Orang Asli tidak berakhir di sini, malah cabaran sama perlu dilalui setiap kali ingin mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pos Lenjangterutama bagi penduduk yang tinggal di kampung-kampung yang agak terpencil dan jauh dari bandar seperti Kampung Ngening.
Dari sini, penduduk terpaksa berjalan sejauh 16 kilometer yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke destinasi yang dituju.
Hakikatnya, kekurangan infastruktur asas terutama jalan raya dan pusat kesihatan membantut kemajuan masyarakat Orang Asli dan pernah berlaku beberapa kesibu yang sarat mengandung terpaksa bersalin di tepi jalan sebelum sempat sampai ke hospital.
Lantas, apabila Pos Medik Komuniti Orang Asli pertama dilancarkan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye di Kampung Dayok baru-baru ini, ia umpama’orang mengantuk disorongkan bantal’. Ini kerana kemudahan pusat kesihatan ini amat diperlukan oleh komuniti Orang Asli di sini.
Lebih membanggakan apabila projek rintis oleh Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) ini dikendalikan sendiri oleh sukarelawandalam kalangan Orang Asli dan penduduk setempat.
MANFAAT KEPADA ORANG KAMPUNG
Lokasi strategik pos medik yang terletak di laluan utama ke Pos Lenjang hanya mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan menaiki pacuan empat roda darisimpang masuk ke Pos Lenjang.
Bangunan separuh batu dan papan yang dijadikan pos medik pertama ini dibina di atas tanah milik seorang penduduk Kampung Dayok, Bahling Pakdai, 80.
Premis ini juga pernah digunakan untuk Program Pemakanan Kurang Zat Makanan (PPKZM) bagi mengatasi masalah kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli di kampung ini.
Bangunan ini ditambah baik sepenuhnya sejak September lepas dengan kemudahan asas seperti tandas, bilik rawatan, bilik doktor, farmasi serta diperlengkapkandengan kemudahan solar yang beroperasi 24 jam.
Manfaat pos medik ini bukan sahaja untuk penduduk 14 buah kampung di Pos Lenjang tetapi juga bagi penduduk di PosTitom yang terletak bersebelahan denganpopulasi kira-kira 4,000 orang suku Semai.
PENDUDUK TERUJA
Seorang penduduk wanita warga emas, Wa Ai Cermin, 60, yang begitu teruja dengan operasi Pos Medik pertama ini, sanggup menunggang motosikal menempuhperjalanan selama 45 minit dari rumahnya di Sungai Jenang, Pos Titom seawal 8 pagi.
“Bagus ada kemudahan macam ini di kampung Orang Asli terutama jika ada kecemasan. Kalau ada bayi tercekik, demam boleh datang periksa dan ambil ubat,”kata Wa Ai yang kelihatan masih sihat dan bertenaga.
Wa Ai yang mempunyai penyakit gout sejak lima tahun lepas mendapat rawatan susulan di Hospital Kuala Lipis dan biasanya beliau akan bermalam di rumahanaknya di Pos Bertau kerana jaraknya lebih dekat dengan hospital.
“Keadaan jalan di sini memang susah untuk keluar bagi dapatkan rawatan di hospital terutama jika ada kecemasan seperti nak bersalin…harap ada doktor swastamacam di pos medik ini yang kerap datang ke sini bagi rawatan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Dayok, Kamal Bah Lepin, 53, melahirkan rasa gembira apabila kampungnya dipilih untuk dijadikan projek rintis Pos Medik OrangAsli.
Menurut beliau kemudahan ini memberi manfaat kepada 252 orang penduduk di Kampung Dayok dan kampung sekitar untuk mendapatkan rawatan awal apabilaberlaku kecemasan.
“Bantuan kesihatan seperti ini sangat diperlukan dan sekurang-kurangnya apabila ada pos medik di sini, mudah untuk kami membuat pemeriksaan awal danmendapatkan ubat-ubatan.
“Pernah berlaku kes demam malaria (Julai lepas) dan kami terpaksa berulang-alik secara kerap ke klinik kesihatan serta hospital,” katanya.
Sebelum ini, penduduk Kampung Dayok yang tidak mempunyai kenderaan terpaksa berjalan kaki hampir satu jam untuk ke Klinik Kesihatan Pos Lenjang.
BANTU MASYARAKAT DI PEDALAMAN
Projek Pos Medik Komuniti Orang Asli merupakan program di bawah DRs For All atau Doktor Untuk Semua yang dilancarkan pada Januari lepas dengan matlamatmenjalankan kem kesihatan dan latihan kecemasan jangka panjang kepada belia di pedalaman.
Presiden PFMPAM, Dr Steven Chow adalah individu penting yang mengilhamkan penubuhan Pos Medik yang pertama di Pos Lejang.
Beliau yang juga pakar kulit di sebuah hospital swasta di ibu negara mula terlibat secara serius dalam kerja-kerja sukarelawan di kawasan pedalaman sejak lebih 10tahun lalu dan kejayaan mewujudkan pos medik pertama ini sungguh bermakna buat beliau.
Sudah banyak kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia yang dijelajahi bagi memastikan tiada komuniti atauindividu ketinggalan untuk mendapatkan khidmat perubatan.
“Biasanya kami masuk ke satu-satu kawasan pedalaman tidak lama dalam, dua atau tiga hari sahaja, kemudian pergi ke kawasan lain. Saya terfi kir lebih baikditubuhkan satu pos medik yang kekal untuk memberi bantuan jangka panjang yang digerakkan oleh komuniti itu sendiri,” kata Dr Chow berkongsi idea tentangpenubuhan pos medik.
Menurut beliau, pemilihan Pos Lenjang sebagai projek rintis pos medik dibuat setelah melihat keperluan penduduk di sini yang sukar untuk keluar mendapatkanrawatan apabila berlaku kecemasan.
“Penduduk di sini perlu belajar rawatan asas kecemasan untuk membantu orang lain. Mereka boleh memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke klinik
“Dengan adanya pos medik yang dikendalikan komuniti sukarelawan terlatih berserta ubat-ubatan asas ia akan dapat membantu merawat kes-kes ringan sepertiluka, patah, bayi tercekik atau terpatuk ular ,” katanya yang berhasrat memperlusakan projek pos medik di kawasan pedalaman lain di seluruh negara.
SENTIASA SIAP SEDIA
Dr Chow berkata walaupun dikendalikan oleh komuniti setempat, namun para doktor dari FPMPAM setiap bulan akan bergilir-gilir melawat dan memantau PosLenjang.
Menurut beliau, kekangan kini adalah tiadanya sistem telekomunikasi di Pos Lenjang dan sekiranya kemudahan itu ada, sukarelawan di pos medik boleh membuat telesidang dengan para doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi sesuatu kes kecemasan.
“Mereka (sukarelawan) memang sudah dilatih untuk melakukan telesidang setiap masa ketika kecemasan bagi memudahkan doktor memantau dan memaklumkanlangkah selanjut yang perlu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang sukarelawan Orang Asli pos medik, Rozita Ramli, 27, berharap dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin setelah menjalanilatihan asas kecemasan April lepas.
Rozita merupakan antara 22 sukarelawan yang bergilir-gilir selama 24 jam sehari untuk memberikan rawatan awal apabila berlaku kecemasan.
Kumpulan sukarelawan ini menjalani kursus asas rawatan kecemasan yang dikendalikan St John Ambulans Malaysia (SJAM) seperti bantuan PernafasanResusitasi Kardiopulmonari (CPR), luka, patah tulang, sawan, tercekik dan kecederaan akibat haiwan berbisa yang melibatkan latihan teori dan praktikal.
“Kami juga diajar asas anatomi melibatkan sistem saraf, cara menilai tanda-tanda kritikal seperti denyutan nadi, kadar penafasan dan pengetahuan tentang kumandan infeksi, katanya.
“Pengetahuan asas mengenai ubat-ubatan seperti cara betul penyimpanan dan pengambilan ubat juga turut diajar,” katanya yang berharap lebih banyak pos medikdiwujudkan di kawasan penempatan orang asli.
“Kami sudah melengkapi kesemua modul asas rawatan kecemasan yang disediakan St John dan selepas ini kami akan menyambung latihan di klinik di KualaLumpur.
“Saya akan praktikan ilmu itu untuk membantu masyarakat Orang Asli di sini,” katanya yang sebelum ini melakukan kerja menoreh getah di kampung.
Source: https://www.bernama.com/bm/rencana/news.php?id=1782121


