Kementerian Kesihatan perkasa PPKZ untuk anak Orang Asli

LIPIS, 29 Sept — Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye (kanan) memakaikan jeket sukarelawan Orang Asli yang akan berkhidmat di Pos Medik Komuniti Orang Asli pertama di Malaysia di Kampung Gayok Pos Lenjang hari ini. Turut hadir Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow (dua, kiri) dan Timbalan Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed. Pos Medik Komuniti Orang Asli ini mencacat sejarah apabila dikendalikan sepenuhnya oleh belia Orang Asli menerusi program Drs For All bertujuan memastikan tiada individu ketinggalan dalam perkhidmatan perubatan walaupun jauh di pedalaman. — foto BERNAMA

LIPIS: Kementerian Kesihatan akan memperkasakan Program Pemakanan Kurang Zat (PPKZ) dalam kalangan anak Orang Asli bagi mengatasi masalah kekurangan nutrisi makanan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata program itu bagi mengimbangi pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat kepada anak Orang Asli termasuk menyediakan Pakej 13 Bakul yang mengandungi multi vitamin dan susu.

“Ada kalangan komuniti Orang Asli tinggal agak jauh ke pedalaman. Jadi, mereka tidak dapat sumber makanan yang lengkap menyebabkan kanak-kanak ini kurang zat sehingga berat mereka tidak selari dengan ketinggian mereka.

“Pakej 13 Bakul di bawah PPKZ ini akan diberikan kepada kanak-kanak yang terpilih untuk keperluan mereka bagi tempoh tiga bulan. Namun, bagi kanak-kanak yang ada masalah pemakanan yang serius, kita sediakan keperluan mereka selama enam bulan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pos Medik Orang Asli Kampung Dayok, Pos Lenjang di sini, hari ini.

LIPIS, 29 Sept — Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye (depan dua, kiri) melihat Orang Asli menerima rawatan daripada Doktor sukarelawan Dr Hew Kin Sun daripada Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) ketika merasmikan Pos Medik Komuniti Orang Asli Pertama di Malaysia di Kampung Gayok Pos Lenjang hari ini. Pos Medik Komuniti Orang Asli ini mencatat sejarah apabila dikendalikan sepenuhnya oleh belia Orang Asli menerusi program Drs For All bertujuan memastikan tiada individu ketinggalan dalam perkhidmatan perubatan walaupun jauh di pedalaman. — foto BERNAMA

Beliau berkata, namun begitu terdapat kanak-kanak yang menerima bakul terbabit berkongsi dengan ahli keluarga yang lain menyebabkan tahap nutrisi mereka tidak memuaskan.

Ada kriteria penerima dan dengan adanya pusat komuniti kesihatan seperti ini dapat membantu masyarakat orang asli khususnya kesihatan kanak-kanak dapat dipantau secara berkala.

“Setiap bulan akan ada doktor yang datang ke sini untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan di sini tahap nutrisi mereka akan dinilai bagi membekalkan Pakej 13 Bakul untuk keperluan mereka,” katanya.

Boon Chye berkata, sebanyak 179 penerima Pakej 13 Bakul itu di daerah ini iaitu di Klinik Kesihatan Betau, Klinik Daerah Pos Lenjang dan Klinik Daerah Pos Titom.

Menyentuh mengenai pembukaan Pusat Pos Medik Orang Asli pertama di negara ini yang diuruskan sepenuhnya oleh masyarakat itu, beliau berkata, seramai 22 belia Orang Asli diberikan latihan asas perubatan bagi mengendalikan klinik terbabit yang beroperasi 24 jam.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Steven Chow, berkata penubuhan pusat medik itu diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk sekitar Pos Lenjang.

LIPIS, 29 Sept — CATAT SEJARAH… Belia Orang Asli Pos Lenjang yang ditauliahkan bakal mengendalikan sepenuhnya Pos Medik Komuniti Orang Asli Pertama di Malaysia di Kampung Gayok yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye hari ini. Pos Medik Komuniti Orang Asli ini mencacat sejarah apabila dikendalikan sepenuhnya oleh belia Orang Asli menerusi program Drs For All bertujuan memastikan tiada individu ketinggalan dalam perkhidmatan perubatan walaupun jauh di pedalaman. — foto BERNAMA

“Pusat medik ini dilengkapi dengan sistem solar untuk menjana elektrik dan setiap bulan akan ada doktor yang datang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Malah, kita berharap pensyarah universiti dapat bekerjasama dengan kita bagi membantu masyarakat Orang Asli di sini. Kita juga ada perancangan untuk membuka pusat medik serupa di penempatan Orang Asli lain dalam masa terdekat termasuk di Pos Senderut di sini,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/612296/kementerian-kesihatan-perkasa-ppkz-untuk-anak-orang-asli