
LIPIS: Kementerian Kesihatan akan memperkasakan Program Pemakanan Kurang Zat (PPKZ) dalam kalangan anak Orang Asli bagi mengatasi masalah kekurangan nutrisi makanan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata program itu bagi mengimbangi pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat kepada anak Orang Asli termasuk menyediakan Pakej 13 Bakul yang mengandungi multi vitamin dan susu.
“Ada kalangan komuniti Orang Asli tinggal agak jauh ke pedalaman. Jadi, mereka tidak dapat sumber makanan yang lengkap menyebabkan kanak-kanak ini kurang zat sehingga berat mereka tidak selari dengan ketinggian mereka.
“Pakej 13 Bakul di bawah PPKZ ini akan diberikan kepada kanak-kanak yang terpilih untuk keperluan mereka bagi tempoh tiga bulan. Namun, bagi kanak-kanak yang ada masalah pemakanan yang serius, kita sediakan keperluan mereka selama enam bulan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pos Medik Orang Asli Kampung Dayok, Pos Lenjang di sini, hari ini.

Beliau berkata, namun begitu terdapat kanak-kanak yang menerima bakul terbabit berkongsi dengan ahli keluarga yang lain menyebabkan tahap nutrisi mereka tidak memuaskan.
Ada kriteria penerima dan dengan adanya pusat komuniti kesihatan seperti ini dapat membantu masyarakat orang asli khususnya kesihatan kanak-kanak dapat dipantau secara berkala.
“Setiap bulan akan ada doktor yang datang ke sini untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan di sini tahap nutrisi mereka akan dinilai bagi membekalkan Pakej 13 Bakul untuk keperluan mereka,” katanya.
Boon Chye berkata, sebanyak 179 penerima Pakej 13 Bakul itu di daerah ini iaitu di Klinik Kesihatan Betau, Klinik Daerah Pos Lenjang dan Klinik Daerah Pos Titom.
Menyentuh mengenai pembukaan Pusat Pos Medik Orang Asli pertama di negara ini yang diuruskan sepenuhnya oleh masyarakat itu, beliau berkata, seramai 22 belia Orang Asli diberikan latihan asas perubatan bagi mengendalikan klinik terbabit yang beroperasi 24 jam.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Steven Chow, berkata penubuhan pusat medik itu diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk sekitar Pos Lenjang.

“Pusat medik ini dilengkapi dengan sistem solar untuk menjana elektrik dan setiap bulan akan ada doktor yang datang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
“Malah, kita berharap pensyarah universiti dapat bekerjasama dengan kita bagi membantu masyarakat Orang Asli di sini. Kita juga ada perancangan untuk membuka pusat medik serupa di penempatan Orang Asli lain dalam masa terdekat termasuk di Pos Senderut di sini,” katanya.
—


