Pos Lenjang lokasi projek rintis Pos Medik Orang Asli

LIPIS, 1 Mei (Bernama) — Penempatan Orang Asli, Pos Lenjang di sini, bakal menjadi projek rintis kepada pelaksanaan Pos Medik Orang Asli pertama di negara ini.
Inisiatif mewujudkan pos medik itu dilakukan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) menerusi program ‘DRs For All’ atau Doktor untuk Semua, yang bertujuan memastikan tiada individu ketinggalan dalam perkhidmatan perubatan.
Presiden FPMPAM Dr Steven Chow berkata ilham untuk menubuhkan pos medik itu timbul berdasarkan pengalaman mereka meredah perjalanan hampir sejam dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak dan meredah sungai untuk ke Pos Lenjang pada awal tahun lepas.
“Kami dimaklumkan petugas kesihatan akan ke sini setiap minggu mengikut jadual, menyebabkan kami berasa bimbang adakah penduduk di sini tahu apa yang perlu dilakukan jika berlaku situasi kecemasan terutamanya pada waktu malam dan adakah mereka boleh segera ke klinik
“Jadi, kami fikir adalah wajar untuk menurunkan ilmu rawatan kecemasan kepada mereka dan menyediakan pos medik yang mempunyai ubat-ubatan asas, supaya mereka boleh memberi rawatan kecemasan sebelum mendapatkan rawatan sebenar,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di Kampung Dayok, Pos Lenjang di sini, hari ini.
Untuk rekod, DRs For All dilancarkan pada 10 Jan lepas oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye di Hospital Orang Asli Gombak, Selangor dengan matlamat menjalankan kem kesihatan dan latihan kecemasan jangka panjang kepada belia di pendalaman.
Dr Steven berkata beliau juga berterima kasih kepada ‘orang lama’ Kampung Dayok, Bahlong Pakdai, 80, yang membenarkan pos medik dibangunkan di tanah miliknya, ekoran kedudukannya yang terletak di laluan utama Pos Lenjang.